19 SEPT: Selepas pembungkusan produk diuji positif COVID-19, China melarang import makanan laut dari sebuah syarikat Indonesia.
Menurut pejabat kastam dalam satu kenyataan, China akan menghentikan import produk makanan laut dari syarikat PT Putri Indah selama seminggu selepas menemui zarah COVID-19 pada bungkusan ikan layur sejuk beku.
Syarikat yang berpangkalan di Sumatera Utara itu tidak segera bertindak balas terhadap permintaan komen melalui teks dan telefon.
Pihak berkuasa China telah menjalankan siasatan terhadap daging, makanan laut, pembungkusan dan bekas yang diimport yang berpotensi menjadi sumber COVID-19 sejak Jun lalu, selepas berulang kali menemui kesan patogen.
Siasatan mendapati enam daripada lebih 500,000 sampel yang diuji didapati positif COVID-19, kata kastam awal bulan ini.
Sebelum ini, China melarang import produk termasuk daging beku, udang Ecuador dan sayap ayam Brazil berikutan ujian mendapati positif pandemik itu.
Walaupun Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) menegaskan tiada bukti COVID-19 boleh tersebar pada makanan dan bungkusan makanan, penyelidik China mendapati COVID-19 pada salmon yang disejuk beku mungkin dijangkiti lebih seminggu.