Strategi Keselamatan Siber Negara dilancar Oktober
23 SEPT: Kerajaan melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) akan mengeluarkan Strategi Keselamatan Siber Negara pada Oktober depan bagi menangani ancaman siber secara komprehensif.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Shabudin Yahaya berkata, strategi itu akan dilaksanakan melalui penggemblengan sumber tenaga dan pembangunan prasarana
“Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan melancarkan Strategi Keselamatan Siber Negara pada 12 Oktober ini yang merupakan satu plan strategic yang komprensif dalam menangani ancaman siber yang semakin kompleks.
“Melalui satu pendekatan aktif cyber defence bagi melindungi ruang siber negara secara bersepadu. Maka itu, beberapa kementerian dan agensi akan dilibatkan termasuk Kementerian Komunikasi dan kementerian-kementerian berkenaan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020 di Dewan Negara, hari ini.
Dalam pada itu, Shabudin memberitahu kerajaan sentiasa meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman dan serangan siber
Tambahnya, pelan yang dibangunkan berdasarkan kepada rangka kerja pengurusan risiko yang menggariskan lima strategi bagi mengurangkan kesan serangan siber dan tindak balas yang perlu dilaksanakan) meliputi pelbagai agensi awam dan swasta.
“Strategi ini merangkumi lima tonggak utama bagi menangani ancaman siber iaitu tadbir urus, keselamatan siber yang berkesan, memperkukuhkan rangka kerja perundangan dan penguatkuasaan.
“Kita juga ingin memacu inovasi dan teknolofi bertaraf dunia, meningkatkan keupayaan kesedaran dan pendidikan serta memperkukuhkan kerjasama di peringkat antarabangsa,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH