27 SEPT: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (PKPDSP) di Zon Melor, Amanjaya, Kedah yang bermula pada 14 September lalu ditamatkan hari ini seperti yang dijadualkan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu dilaksanakan selepas tiada penambahan kes baru positif COVID-19 direkodkan untuk tempoh 13 hari sejak 14 September lalu.
“Sebanyak 4,931 sampel telah diambil di Zon Melor dan bilangan kes positif COVID-19 kekal 13 kes seperti yang direkodkan pada 13 September lalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 523 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ismail Sabri menambah, daripada jumlah itu, seramai 483 individu telah dikompaun manakala 40 orang lagi direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub dan kelab malam (356), penjarakan fizikal (105), tidak memakai pelitup muka (38), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (20), dan tangkapan pendatang asing tanpa izin (4),” jelasnya.
Selain itu, Operasi Benteng semalam berjaya menahan sebanyak 75 pendatang asing tanpa izin dan merampas tiga buah kenderaan darat. – Oleh HUSSAINI AMRAN