28 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum masalah kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 dan 2 (KLIA1 dan KLIA2) setelah peraturan baru berhubung saringan Covid-19 yang mula dilaksanakan semalam.
Pihak berkenaan sudah menambah lebih banyak kakitangan bertugas bagi memudahkan proses tersebut malah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba turun turun padang bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut.
Terdahulu, penumpang yang tiba dari Sabah mengadu bahawa mereka harus beratur di koridor yang sesak hingga tiga jam sebelum mereka dapat menerima ujian Covid-19.
Dengan jumlah penumpang yang ramai ekoran hujung minggu serta ramai petugas parti pulang daripada Pilihan Raya Negeri, ini menimbulkan kebimbangan bahawa mereka mungkin dijangkiti wabak dalam proses tersebut.
KKM dalam kenyataan malam tadi, memaklumkan akan mengerahkan lebih banyak kakitangan untuk mempermudah proses berkenaan.
“KKM telah menambah kakitangan di KLIA dan KLIA2 untuk menjalankan ujian saringan kepada semua pengembara dari Sabah yang tiba di Pintu Masuk Antarabangsa dan domestik.
“Peraturan baharu itu bermula hari ini dan mereka dipakaikan gelang kuarantin dan diwajibkan menjalani HSO (kuarantin rumah),” kata KKM dalam kenyataan tersebut.
Di bawah peraturan baru itu, semua individu yang tiba dari Sabah mesti menjalani ujian Covid-19 dan menjalani kuarantin 14 hari di rumah.
Peraturan itu adalah susulan lonjakan kes Covid-19 di Sabah, terutama di pantai timur negeri itu.
Sementara itu, beberapa pihak lain turut membantu dengan menyediakan makanan ringan dan minuman kepada penumpang yang terpaksa menunggu berjam-jam bagi proses saringan tersebut.