2 OKT: Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan paru-paru pada jam 11.50 pagi tadi.
Memetik laporan Borneo Today, pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) yang berusia 60 tahun itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu.
Difahamkan, keluarga beliau belum bersedia untuk mengeluarkan sebarang kenyataan lagi.
Mendiang yang berasal dari Kota Belud dipilih sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan menyandang jawatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) semasa era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dahulu.
Pengerusi Tetap Warisan itu meninggalkan isteri, Datin Dr Lindai Lee dan empat anak.