12 MEI: Susulan kes kemalangan yang menyebabkan seorang anggota polis maut selepas dirempuh dalam sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) di Kajang 3 Mei lepas, lelaki mabuk yang disyaki itu akan dihadapkan ke mahkamah esok.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan berkata, lelaki itu akan dituduh dengan empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kajang 9 pagi.
“Lelaki itu akan dituduh mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 26(1) akta sama kerana memandu di bawah pengaruh alkohol serta memandu tanpa lesen sah.
Selain itu, lelaki itu juga akan dituduh mengikut Seksyen 26(1) Akta Polis 1967 kerana tidak berhenti di sekatan jalan raya dan Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, atas kesalahan berada di luar rumah tanpa alasan munasabah ketika perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya.
Dalam insiden pada 2.11 pagi 3 Mei lepas, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala setelah dirempuh kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 44 tahun itu.
Sebelum ini, lelaki terbabit ditahan reman 6 hari yang berakhir Jumaat lepas untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dibebaskan dengan jaminan polis.
Bagaimanapun, lelaki itu ditahan semula pada hari yang sama untuk disiasat di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat serta Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu dan berbahaya.