5 OKT: Jumlah individu yang ditahan Polis Diraja Malaysia kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkat secara mendadak kepada 979 orang semalam.
Sebahagian besar daripada mereka iaitu 516 orang ditahan kerana gagal mematuhi penjarakan fizikal.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, secara keseluruhan, seramai 944 individu telah dikompaun manakala 32 orang direman dan tiga orang dijamin.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP yang lain adalah gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (277), tidak memakai pelitup muka (163), premis beroperasi lebih masa (10), aktiviti dalam pub dan kelab malam (7), premis beroperasi tanpa lessen (2), langgar perintah kuarantin (2), enggan membuat saringan COVID-19 (1) dan keluar kawasan PKPDB tanpa kebenaran (1),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Selain itu, beliau memberitahu, Operasi Benteng semalam menyaksikan kejayaan pasukan keselamatan menahan seramai 48 pendatang asing tanpa izin (PATI), dua tekong dan empat penyeludup.
“Turut berjaya dirampas tujuh kenderaan darat,” jelasnya.
Ismail Sabri berkata, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 1,052 pemeriksaan khas Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.
“Mereka mendapati 1,045 premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan manakala 7 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN