13 MEI : Berdasarkan majoriti 19 Adun yang mengumumkan hilang kepercayaan kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir semalam, ia sudah membolehkan perlantikan menteri besar baharu disegerakan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata, dengan sidang media oleh Ketua Pembangkang Muhamad Sanusi Md Nor, jelas menunjukkan jumlah majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.
“Keadaan semalam menunjukkan kerajaan dah jadi kosong dan ia memerlukan pelantikan baharu. Saya, difahamkan ada Adun Bersatu juga akan menyertai PN. Jadi kalau ini berlaku, ia lebih dari jumlah yang sepatutnya iaitu 19 kerusi.
“Sudah pastinya pejabat Tuanku (Sultan Kedah) akan mengambil maklum perkara ini dan akan mengatur selia pelantikan angkat sumpah menteri besar, itu proses biasa,” katanya kepada PNBBC.my.
Semalam, Muhamad Sanusi dalam sidang media berkata bahawa seramai 19 Adun di Kedah bersetuju untuk menubuhkan kerajaan baharu.
Menurut Adun Jeneri itu, selain 15 kerusi Adun, PAS, dua UMNO, dua lagi bekas Adun PKR menyatakan hilang kepercayaan kepada Mukhris sekaligus menyebabkan kerajaan PH Kedah tumbang.
Sanusi juga menegaskan bahawa empat Adun Bersatu juga telah menandatangi akuan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kedah, Datuk Othman Aziz berkata adalah sewajarnya Mukhriz meletak jawatan secara sukarela susulan apa yang berlaku semalam.
Ini kerana ia bukan sahaja membabitkan hilangnya kepercayaan kepada Mukhriz, malah tiada sebarang pembangunan dan kemajuan yang dibuat di Kedah sepanjang 22 bulan PH memegang tampuk pemerintahan pusat.
“Kalau dulu kita faham, mereka hanya kerajaan negeri jadi nak dapatkan dana untuk kemajuan Kedah agak sukar, tapi bila PH memerintah di Pusat, jadi sepatutnya ada kemajuan yang boleh dibangunkan di negeri ini, tapi tak ada.
“Kedah sama seperti dulu lagi, jadi sewajarnya Mukhriz undur diri dengan secara sukarela,” katanya.
Tambah Othman, jika Kedah terus berada di bawah pimpinan Mukhriz, negeri itu akan terus menjadi mangsa keadaan kerana dia sendiri tidak sehaluan dengan kepimpinan pusat di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Ini kali kedua dia (Mukhriz) jadi Menteri Besar separuh penggal, saya tak mahu cakap dia tak layak, tapi dia sudah pun menunjukkan kegagalan sebagai pemimpin dalam mentadbir Kedah,” ujarnya.