7 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh mengeluarkan kompaun serta-merta di lapangan terhadap mana-mana individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran berbuat demikian telah diberikan oleh Jabatan Peguam Negara.
“Kompaun serta-merta ini boleh dikeluarkan oleh anggota PDRM berpangkat Inspektor dan ke atas,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung melalui Facebook, hari ini.
Beliau menambah, pihak berkuasa juga akan memperketatkan lagi kawalan sempadan negara khususnya di Pantai Timur Sabah dengan menambah jumlah anggota keselamatan dan aset-aset bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Selain itu, katanya, pemantauan pematuhan SOP juga akan digiatkan manakala jumlah sekatan jalan raya juga akan diperbanyakkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, PDRM telah menahan 357 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP semalam.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, seramai 320 individu telah dikompaun, 35 individu pula direman dan dua orang dijamin.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk tidak memakai pelitup muka (167), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (123), penjarakan fizikal (34), gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah (23), keluar rumah di kawasan PKPB tanpa kebenaran (5) dan melanggar perintah kuarantin (5),” jelasnya.
Selain itu, Ismail Sabri memberitahu, seramai 32 PATI, dua tekong dan empat penyeludup ditahan manakala lapan kenderaan darat dirampas pasukan keselamatan dalam Operasi Benteng semalam. – Oleh HUSSAINI AMRAN