9 OKT: Barisan Nasional (BN) membuat keputusan yang tepat apabila tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi.
Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, ini membuktikan bahawa politik tidak terdorong oleh kuasa semata-mata.
”Sekali lagi BN tidak akan menyertai pilihan raya kecil Batu Sapi. Kali ini kerana kepentingan awam dalam suasana pandemik Covid-19.
“Ia suatu keputusan yang tepat,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan BN mengambil keputusan untuk tidak menyertai PRK Parlimen Batu Sapi.
Menurut beliau, keputusan ini dibuat kerana BN merasakan perlu bagi mengelakkan penularan COVID-19 sekiranya PRK itu diadakan.
Shahrir turut mengimbau kembali pertama kali BN tidak meletakkan calon iaitu pada PRK Parlimen Menglembu pada 1975 selepas pemimpin DAP, Fan Yew Teng hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen kerusi itu.
Menurut beliau, keputusan Presiden UMNO ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein terhadap kes tersebut tepat apabila mahkamah menolak kehilangan kelayakan Yew Teng dan PRK Menglembu turut dibatalkan.
”Indah betul apabila Eksekutif, Parlimen dan Kehakiman masing-masing tersendiri dan bebas.
“Benar-benar pemisahan kuasa. Ianya juga pemerintahan Rule of Law dan bukan Rule of Men,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH