14 MEI: Semua 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menyokong Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan negeri baharu dijangka menghadap Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, Alor Setar esok.
Beberapa orang daripada Adun ketika dihubungi mengesahkan akan menghadap Sultan Kedah itu pagi esok.
Sebelum ini, mereka sudah menandatangani akuan berkanun atau akuan bersumpah menyatakan hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan menyokong kepimpinan baharu menggantikan Menteri Besar itu.
Pertemuan dengan Sultan Kedah itu bagi membolehkan baginda mendengar sendiri perkembangan berkenaan daripada semua wakil rakyat terbabit sebelum baginda memperkenankan sebarang keputusan.
Semalam, ketiga-tiga presiden parti Bersatu, UMNO dan PAS menghadap Sultan Sallehuddin di ibu negara berhubung krisis berkenaan.
Jika semua lancer, PN Kedah akan membentuk kerajaan negeri baharu dengan 15 Adun PAS, 2 UMNO, 2 bekas Adun PKR dan 4 Adun Bersatu.
Bekas Adun PKR Azman Nasrudin (Lunas) dan Robert Ling Kui Ee (Sidam) manakala Bersatu pula iaitu Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Guar Cempedak), Halimaton Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam) Mohd Firdaus Ahmad (Kuah) dan Juhari Bulat (Ayer Hangat).