20 OKT: Pandemik Covid-19 tidak akan menghalang Sarawak daripada mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 mengikut undang-undang.
Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Masing yang ditanya mengenai kebimbangan dalam kalangan rakyat bahawa Sarawak akan menerima nasib yang sama seperti Sabah yang menyaksikan peningkatan kes Covid-19 selepas mengadakan PRN pada 26 September lepas, beliau berkata, pilihan raya masih boleh diadakan dengan syarat prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan ketat.
“Kita tiada pilihan, jika kita tidak buat sekarang, selepas lima tahun (tempoh tamat) secara automatik Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan,” katanya dan menambah beliau tidak tahu apa-apa peruntukan yang membolehkan sesuatu pilihan raya ditangguhkan.
Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan upacara pecah tanah untuk Pakej A: Pembinaan dan Penyiapan Cadangan Jalan Sungai Bidut/Kampung Sebedil/Kampung Bungan Kecil di Bawang Assan hari ini.
Memetik laporan Bernama, Masing mengulangi bahawa sekiranya pilihan raya tidak diadakan, pada Jun tahun hadapan, DUN akan dibubarkan dan Sarawak tidak akan mempunyai kerajaan.
“Keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri untuk memberi laluan kepada pilihan raya terletak kepada ketua menteri,” tambahnya.
Jelas beliau, Covid-19 adalah satu faktor tetapi ada negara yang mengadakan pilihan raya pada tempoh pandemik ini.
“Antaranya Singapura, Korea Selatan dan baru-baru ini, New Zealand.
“Mereka mengadakan pilihan raya tanpa masalah dengan syarat SOP dipatuhi dengan ketat,” katanya.