1 NOV: Operasi Cegah PATI (OCP) Laut dilancarkan pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), berjaya mengusir sekurang-kurangnya 1,995 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki perairan negara secara tidak sah di Tawau dari April sehingga Oktober lalu.
Ketua Staf Operasi Laut ESSCOM, Laksamana Maritim Hamid Mohd Amin berkata, kesemua mereka ditahan semasa melalui laluan tidak diwartakan di sekitar perairan batu 1 hingga batu 5, Jalan Apas.
“Walau bagaimanapun, tindakan pihak berkuasa pada masa ini ialah mengusir atau mengarahkan mereka pulang ke negara asal bagi mengekang dan memutuskan penularan wabak COVID-19 dalam kalangan PATI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama dan sokongan semua agensi keselamatan dalam melaksanakan operasi bersepadu OCP.
“Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua agensi penguatkuasaan yang terlibat seperti Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya.
Menurutnya lagi, ESSCOM dengan kerjasama semua agensi penguatkuasa akan terus memperketatkan kawalan di sempadan perairan terutamanya cubaan menceroboh oleh PATI dari Pulau Sebatik, Indonesia.