1 NOV: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua barisan pemimpin kerajaan dan parti yang mendokong Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk menghadapi sidang Dewan Rakyat yang akan bermula esok.
Menurut Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, ingatan itu antara perkara yang disampaikan Perdana Menteri pada pertemuan bersama barisan kepimpinan politik PN hari ini.
“Perjumpaan ini hanya mesyuarat pra-majlis melibatkan ketua whip, dan perdana menteri memaklumkan kami perkembangan terkini dan kami perlu bersedia untuk sesi (Parlimen) yang akan berlangsung,” kata Mohamed Azmin yang juga Ketua Whip Kerajaan PN.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tamat perjumpaan itu yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara.
Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysiadilihat meninggalkan venue itu pada kira-kira jam 5 petang.
Beliau dilihat hanya melambaikan tangan kepada petugas media yang menunggu di lobi hotel tersebut ketika ditanya mengenai mesyuarat berkenaan.
Pertemuan itu yang bermula pada tengah hari tadi dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC Tan Sri S. A Vigneswaran.
Ini disusuli perjumpaan dengan semua ketua whip parti-parti PN termasuk Mohamed Azmin, Datuk Takiyuddin Hassan (Ketua Whip PAS) dan Datuk Seri Fadhillah Yusof (Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak).
Turut kelihatan hadir Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Shahidan Kassim.