2 NOV: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Johor Bahru mulai esok hingga 16 November ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu dilaksanakan setelah 46 individu di kawasan itu didapati positif COVID-19.
“PKPD ini akan melibatkan seramai 1,559 terdiri daripada pelatih ILKKM, staf serta ahli keluarga dan pekerja sokongan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, PKPD di Penjara Kepayan dan Kuarters Penjara Taman Mat Salleh, Kampung Matambai di Sabah dilanjutkan 14 hari lagi mulai esok hingga 16 November.
PKPD di Kampung Saguking Laut dan Kampung Sebor Laut di Labuan yang dijadualkan berakhir esok tidak akan dilanjutkan setelah saringan oleh KKM mendapati kes positif COVID-19 di dua lokasi itu berkurangan dan terkawal.
“Walau bagaimanapun, kedua-dua lokaliti ini masih tertakluk di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Labuan yang sedang berkuat kuasa,” jelasnya.
Ismail Sabri menambah, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga bersetuju untuk membuat pindaan terhadap SOP PKPD di beberapa lokasi di Sabah.
Pindaan-pindaan yang dipersetujui adalah seperti berikut:
• Seorang wakil dari setiap rumah dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dengan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) khusus untuk mengeluarkan wang dari mesin ATM / bank dan membeli keperluan asas dan barangan bukan makanan.
• Pasar dibenarkan beroperasi di kawasan PKPD sebanyak 2 kali seminggu dari jam 6.00 pagi sehingga 2.00 petang.
Walaubagaimanapun, pindaan ini tidak terpakai di kawasan Penjara dan Pusat Tahanan Sementara di Negeri Sabah.
Dari segi penguatkuasaan, Ismail Sabri berkata, PDRM telah menahan 538 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Daripada jumlah itu, seramai 531 individu telah dikompaun dan tujuh individu pula direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk tidak memakai pelitup muka (136), penjarakan fizikal (82), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (80), aktiviti pusat hiburan (78), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (17) dan kesalahan lain (145),” katanya.
Selain itu, dalam Ops Benteng semalam, pasukan keselamatan berjaya menahan seramai empat pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang tekong serta merampas sebuah bot dan lapan kenderaan darat. – Oleh HUSSAINI AMRAN