4 NOV: Janji DAP untuk membela nasib orang Melayu boleh diragui berikutan sikap pemimpin parti itu mempertikaikan pemakaian baju Melayu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, isu tersebut sepatutnya tidak timbul memandangkan pemakaian baju kebangsaan itu dibenarkan dalam sidang Dewan Rakyat malah semasa temasya Sukan Olimpik dan Sukan SEA.
“Apa sebenarnya yang cuba dimainkan oleh kerajaan negeri Selangor khususnya parti DAP?
“Macam mana DAP kata mereka membela nasib orang Melayu jika baju kebangsaan pun dipertikai?” soalnya menerusi hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Sidang DUN Selangor kelmarin kecoh selepas Yang Dipertua DUN Selangor, Ng Suee Lim menegur tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang memakai baju kebangsaan yang dikatakan tidak mematuhi kod pemakaian yang ditetapkan.
Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang berkenaan adalah Datuk Mohd Shamsudin Lias (Sungai Burong); Zakaria Hanafi (Semenyih); Datuk Mohd Imran Tamrin (Sungai Panjang); Rizam Ismail (Sungai Air Tawar) dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang).
Dalam pada itu, Mohd Sharkar yang juga merupakan Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komuniti Negeri Pahang turut mempersoalkan DAP jika perkara asas ini tidak mampu pertahankan, bagaimana parti itu mahu mewujudkan kestabilan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang berkata, biarpun isu ini dianggap sebagai isu kecil, ia memberikan kesan yang cukup besar kepada pemikiran orang Melayu di negara ini.
“Adakah DAP selama ini hanya bersandiwara apabila mengatakan parti itu hendak membela orang Melayu,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH