4 NOV: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk segera menilai semula keperluan untuk memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) pergerakan rentas daerah dan negeri.
Perkara itu ditekankan oleh beliau dalam sidang khas MKN yang dipengerusikan beliau secara maya, hari ini.
Muhyiddin turut meminta MKN menilai semula sama aktiviti sosial masih boleh dibenarkan atau sebaliknya.
“Saya dimaklumkan insya-Allah MKN akan membentangkan dapatan hasil perbincangan daripada Jawatankuasa Teknikal COVID-19 berhubung penilaian semula SOP pada sidang MKN esok, 5 November 2020,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook miliknya, malam ini.
Selain itu, menurut beliau, sidang khas MKN mendengar pembentangan mengenai SOP Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh.
Perdana Menteri berpandangan, PRK itu dilihat agak sukar untuk dilaksanakan ketika pandemik COVID-19 masih memuncak di Sabah pada masa ini.
“Sehubungan itu, SPR dan Jabatan Peguam Negara diminta untuk mengkaji beberapa aspek perundangan yang membolehkan PRK Parlimen Batu Sapi ditangguhkan sehingga COVID-19 berakhir,” jelasnya.
Beliau menambah, kerajaan negeri Sarawak juga memberikan cadangan supaya kerajaan menaiktaraf fasiliti yang menjalankan ujian saringan pengesanan COVID-19 di seluruh negeri itu.
“Saya setuju dengan saranan ini kerana fasiliti sedia ada dijangka tidak mampu menampung sampel yang banyak dan kita mesti bersiap sedia dari segi tenaga kerja dan fasiliti untuk menghadapi kemungkinan peningkatan mendadak kes positif COVID-19.
“Alhamdulillah, kerajaan negeri Sarawak telah pun mengadakan perbincangan lebih awal di pihak mereka dan akan membentangkan Pelan Persiapan COVID-19 bagi negeri Sarawak pada sidang khas MKN esok,” katanya.
Berhubung situasi semasa COVID-19 di negara ini, Muhyiddin berkata, situasi masih lagi membimbangkan dan tidak boleh dibiarkan berlarutan.
“Saya ingin pastikan bahawa semua cadangan bagi menambah baik gerak kerja dan persiapan untuk mengurus serta mengawal jangkitan COVID-19 di dalam negara akan diberikan pertimbangan sewajarnya,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN