5 NOV: Hanya 15 Menteri atau Timbalan Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan berada dalam Dewan Rakyat ketika sesi pembentangan Belanjawan 2021 esok dan sesi perbahasan bajet nanti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan ketika mengesahkan perkara itu berkata, mereka adalah sebahagian 41 Ahli Parlimen wakil PN yang akan berada dalam Dewan Rakyat ketika sesi pembentangan dan perbahasan bajet nanti.
“Jika ada keperluan pengundian, semua Ahli Parlimen akan dibenarkan masuk,” katanya kepada pemberita PN BBC Portal sebentar tadi.
Berikutan kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi, jumlah Ahli Parlimen ketika ini ialah seramai 221 orang.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, mengesahkan bahawa hanya 80 Ahli Parlimen iaitu 41 penyokong kerajaan (PN), 39 pembangkang dan Bebas akan dibenar berada dalam Dewan Rakyat, pada satu-satu masa.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat berikutan penularan wabak COVID-19 semalam yang turut dihadiri Ketua Whip parti.
“Penentuan Ahli Parlimen yang boleh berada dalam dewan akan ditetapkan oleh parti masing-masing. Setiausaha Dewan Rakyat akan memberikan Kad Khas kepada Yang Berhormat Kota Bharu untuk selaraskan kehadiran di pihak anggota pentadbiran dan ahli ‘backbenchers’.
“Di pihak pembangkang, Kad Khas ini akan diberikan kepada Yang Berhormat Sungai Petani untuk kehadiran ahli pembangkang dan Bebas,” katanya.