9 NOV: Syarikat-syarikat yang menawarkan latihan kemahiran baharu kepada golongan yang hilang pekerjaan akibat krisis COVID-19 seharusnya menyediakan peluang kerjaya untuk mereka.
Ahli Parlimen BN Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perjanjian untuk mengambil pelatih sebagai pekerja baharu perlu dimeterai dengan Kementerian Sumber Manusia.
Menurut beliau, langkah tambahan itu boleh dilakukan selain memberi elaun latihan kepdaa golongan terbabit.
“Kalau kita buat reskilling, kita takdak dapat pekerjaan, dia akan merayau lagilah. Dia balik akan cari pekerjaan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Mahdzir menambah, seruan itu seharusnya disambut oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) dan agensi-agensi kerajaan.
Beliau memberitahu, majikan boleh menetapkan jumlah peserta latihan peningkatan kemahiran yang boleh diambil bekerja di organisasi masing-masing.
“Maknanya dalam zaman pandemik ini, zaman susah ini, ada lagi kita boleh membantu bagi mempertingkatkan jumlah sebenar yang mendapat pekerjaan,” jelasnya.
Pada masa yang sama, Mahdzir mencadangkan agar graduan-graduan baharu diberi peluang untuk bekerja secara kontrak dalam mana-mana sektor yang sesuai.
Sementara itu, beliau yang juga bekas Menteri Pendidikan meminta kerajaan memberi lebih perhatian terhadap isu sekolah-sekolah daif di Sabah dan Sarawak.
“Kalau kita boleh membantu mempercepatkan, maknanya dalam masa tiga ke empat tahun dari sekarang, sekolah daif tu dah tak ada,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN