12 NOV: Kerajaan disarankan supaya menubuhkan perbadanan khas untuk merancang, merangka dasar dan melaksanakan pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli.
Ahli Parlimen BN Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor berkata, perbadanan itu perlu mempunyai punca kuasa melalui akta yang diluluskan oleh Parlimen.
Menurut beliau, kerajaan boleh memberi geran untuk membiayai perbadanan tersebut sehingga ia mempunyai kuasa autonomi dan berdikari.
“Ia juga perlu mempunyai bidang kuasa untuk membangunkan sosioekonomi yang difikirkan sesuai dengan cara hidup masyarakat Orang Asli serta perlu diberi ruang dalam pelaburan.
“Perbadanan ini akan berfungsi seperti model Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang akan bertanggungjawab untuk menjaga kesentosaan dan kepentingan sosioekonomi masyarakat Orang Asli,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Cadangan itu adalah sebahagian daripada resolusi yang dicapai dalam Kongres Ekonomi Bumiputera, bulan lalu.
Ramli turut mencadangkan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kalangan Orang Asli.
Beliau menambah, langkah itu boleh dilaksanakan di negeri-negeri yang mempunyai penduduk Orang Asli.
Katanya, perkara tersebut memerlukan peruntukan berkaitan dalam enakmen negeri dipinda terlebih dahulu. – Oleh HUSSAINI AMRAN