14 NOV: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengumumkan perincian kemudahan akses ke Akaun 1 ahlinya, yang dikenali sebagai i-Sinar pada 18 November ini.
KWSP menerusi kenyataan hari ini berkata, i-Sinar diwujudkan hasil konsultasi mendalam bersama pihak berkepentingan agar ahli terkesan dapat mengharungi cabaran semasa, selain memastikan kesejahteraan masa depan persaraan mereka.
“KWSP yakin amaun boleh diakses daripada i-Sinar berserta amaun maksimum RM500 sebulan daripada Akaun 2 melalui kemudahan i-Lestari (dilancarkan pada April lalu), dapat membantu ahli terkesan menampung keperluan mereka dalam jangka pendek,” katanya.
i-Sinar merupakan lanjutan daripada pengeluaran i-Lestari yang kini dijangka mencecah amaun pengeluaran sebanyak RM30 bilion dan akan berakhir Mac 2021.
Permohonan i-Sinar boleh dibuat mulai bulan depan dan amaun yang diakses akan dikreditkan ke dalam akaun bank pemohon bermula Januari tahun depan.