24 NOV: Kementerian Pertahanan akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet dalam masa terdekat bagi membolehkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dilaksanakan semula.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PLKN telah dimansuhkan pada 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) atas sebab tertentu.
Namun, beliau berkata, berdasarkan kepada kesan baik kepada pembentukan patriotisme remaja yang telah menyertai program berkenaan, kementerian akan mencadangkan kepada Kabinet agar program itu dilaksanakan semula.
“YB Arau (Ahli Parlimen BN Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim) pula membangkit isu jurulatih-jurulatih kontrak PLKN yang telah ditamatkan kontrak mereka dan mencadangkan diserapkan dalam perkhidmatan di kementerian-kementerian atau agensi kerajaan yang lain.
“Untuk makluman YB Arau, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menawarkan pelantikan kontrak secara soft landing kepada 1,394 orang bekas pegawai lantikan kontrak Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan ditempatkan di pelbagai agensi/kementerian bagi tempoh satu tahun mulai 2019 sehingga 2020,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) peringkat dasar bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Ismail Sabri menjawab persoalan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen BN Pontian, Datuk Ahmad Maslan dan Shahidan dalam sesi perbahasan sebelum ini yang bertanya mengapa program PLKN dihentikan dan mencadangkan agar program ini dapat diteruskan semula serta nasib kakitangan dan jurulatih PLKN selepas program berkenaan dimansuhkan PH.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tujuan pelantikan terbabit adalah bagi memberi peluang kepada pegawai terlibat untuk menampung sara hidup mereka sebelum mendapat pekerjaan lain.
“Bagi cadangan YB Arau agar pegawai-pegawai ini diserapkan ke dalaman kementerian atau agensi kerajaan yang lain, perkara itu perlu dirujuk kepada pihak berkuasa melantik,” katanya.
Menjawab isu dibangkitkan Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mengenai status perolehan enam aset kapal tempur pesisir pantai (LCS), Ismail Sabri mengesahkan secara keseluruhan pembinaan sudah mencapai 57.01 peratus berbanding perancangan asal sepatutnya 90.11 peratus iaitu kelewatan sebanyak 33.10 peratus. – Oleh HAIKA KHAZI