24 NOV: Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, mengesahkan enam daripada 13 individu yang disyaki mendalangi serangan bersenjata api terhadap dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) hingga menyebabkan seorang terkorban awal pagi tadi, sudah ditahan pihak berkuasa.
Surina mengesahkan dua daripada suspek terbabit ditahan oleh pasukan keselamatan Malaysia, manakala empat lagi ditahan pihak berkuasa Thailand.
Beliau berkata, usaha memburu baki tujuh lagi anggota kumpulan penyerang itu sedang dijalankan pihak berkuasa kedua-dua negara.
“Kita difahamkan tiga daripada 13 penyeludup berkenaan turut mengalami kecederaan dalam kejadian berbalas tembakan dengan anggota PGA Malaysia dan mendapatkan rawatan di Hospital Hatyai dan Sadao.
“Untuk mendapatkan cerita dan gambaran mengenai kejadian sebenar kena tunggu keterangan daripada anggota PGA Malaysia tercedera,” katanya dalam sidang media selepas meninjau lokasi kejadian sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Surina berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan saki baki suspek kes tembak terbabit.
Beliau berkata polis juga akan menjalankan siasatan rapi dan mendapatkan maklumat terperinci berhubung kes terbabit bagi memastikan pihak berkuasa dapat menahan semua penyeludup berkenaan.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, memberi jaminan keadaan keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Pos 9 di sini, adalah terkawal berikutan kehadiran pasukan keselamatan.
Malah, Abdul Hamid mengesahkan ketika ini anggota Komando 69 (VAT69) masih berada di lokasi kejadian serangan bagi memantau keadaan.
“Kita sudah melakukan tinjauan di lokasi dan secara kebetulan ketika kejadian kita sudah ada anggota komando berdekatan. Keadaan di lokasi ketika ini adalah terkawal,” katanya ketika selepas meninjau lokasi kejadian pagi tadi.
Terdahulu Abdul Hamid, Surina dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilihat masuk ke lokasi kejadian kira-kira jam 11.30 pagi tadi sebelum keluar pada jam 2 petang.
Dalam kejadian pada jam 3.10 pagi tadi, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Koperal Baharuddin Ramli, 54, terkorban terkena tembakan, manakala seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, cedera parah dan dilaporkan kritikal.
Difahamkan, kejadian itu mempunyai kaitannya dengan tindakan pihak berkuasa Malaysia mengetatkan kawalan sempadan terutama di Perlis dan Kedah, menyebabkan kegiatan penyeludupan sukar dilakukan.
Terdahulu Abdul Hamid, Surina dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilihat masuk ke lokasi kejadian kira-kira jam 11.30 pagi tadi sebelum keluar pada jam 2 petang.
Dalam kejadian pada jam 3.10 pagi tadi, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Koperal Baharuddin Ramli, 54, terkorban terkena tembakan, manakala seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, cedera parah dan dilaporkan kritikal.