24 NOV: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 141 pendatang tanpa izin (PATI) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Plaza Hentian Kajang sejak 28 Oktober lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Mohamad Fauzi Md Isa, berkata tangkapan berkenaan dilakukan adalah daripada hasil pemeriksaan ke atas 2,600 orang termasuk 1,900 warga asing yang tinggal di situ.
“Hasil pemeriksaan kita mendapati 141 orang diklasifikasikan sebagai PATI dan mereka melakukan dua kesalahan iaitu tinggal lebih masa dan salah guna pas lawatan
“Daripada jumlah itu 65 adalah warganegara Indonesia, Myanmar (59), sembilan Nepal, dan lapan orang lain-lain warganegara,”selepas Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di PKPD Plaza Hentian Kajang hari ini.
Difahamkan, kesemua PATI berusia antara satu hingga 50 tahun berkenaan kini ditahan Depoh Tahanan Imgresen Semenyih untuk siasatan lanjut sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
Turut sama dalam operasi ini adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang terdiri daripada 333 anggota.
Sementara itu, Mohamad Fauzi mengesahkan JIM sehingga kini menahan 34,649 PATI menerusi 6,347 operasi penguatkuasaan dijalan dilaksanakan di seluruh negara, sejak Januari hingga semalam,
“Pada tempoh sama kita sudah mendakwa 376 majikan dalam operasi penguatkuasaan di seluruh negara kerana kesalahan menggaji PATI,” katanya.