15 APRIL: PKR menggantung keahlian Ketua Wanita parti itu, Haniza Mohd Talha kerana menghadiri pertemuan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin pada Februari lalu.
Haniza mengesahkan beliau menerima surat penggantungan keahliannya pada 13 April lalu.
Surat yang dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kasim memaklumkan penggantungan itu berkuat kuasa 6 April lalu.
Surat itu menyatakan Haniza menemui Azmin dan Zuraida, yang dipecat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 24 Feb lalu kerana mengkhianati parti, di sebuah hotel di Damansara pada 26 Feb lalu.
“MPP pada 21 Mac 2020 menggunakan perlembagaan parti Fasal 41.6 yang memperuntukkan keanggotaan saudari digantung serta-merta sehingga siasatan Lembaga Disiplin parti (selesai),” menurut surat itu.
Susulan penggantungan itu, Haniza dilarang membuat sebarang komen atas nama parti.
Haniza yang juga Exco Selangor, memenangi jawatan ketua Wanita PKR pada pemilihan parti 2018.