2 DIS: Parti Amanah Negara (Amanah) menafikan laporan mendakwa parti itu memberi tempoh seminggu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau letak jawatan sebagai Ketua Pembangkang.
Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Nasional Amanah baru-baru ini hanya memutuskan penghargaan terhadap kesediaan Anwar mengambil tanggungjawab dengan apa yang berlaku pada 26 November lepas di Dewan Rakyat berhubung ketiadaan undi belah bahagi Belanjawan 2021.
Katanya, kedudukan Ketua Pembangkang dengan usaha mendapatkan kembali kerajaan dari PN adalah dua perkara yang berbeza.
“Kedudukan Ketua Pembangkang diputuskan melalui perbincangan antara komponen parti bukannya hak atau tanggungjawab Amanah sahaja.
“Bagaimanapun, kita juga telah bersetuju untuk berbincang bersama dengan rakan-rakan gabungan apa yang patut dibuat seterusnya selepas peristiwa itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Justeru Khalid menepis dakwaan mengatakan Amanah memberikan ‘kata dua’ kepada rakan-rakannya dalam PH.
“Memberi kata dua kepada rakan-rakan gabungan bukan budaya Amanah,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Shah Alam itu turut mendakwa laporan portal tersebut berniat untuk melaga-lagakan Amanah dengan Presiden PKR itu.
Khalid mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa Amanah memberikan Anwar tempoh tujuh hari untuk menjatuhkan PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Memetik sumberm portal itu berkata, Amanah akan mendesak majlis presiden PH bersidang selepas tamat tempoh tujuh hari itu bagi menentukan hala tuju gabungan itu.