3 DIS: Prihatian kepada nasib menimpa rakyat, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di Kampung Kuala Kujan, Jalan Triang, Temerloh hari ini.
Menurut Facebook Istana Negara sebenatar tadi, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut berangkat mengiringi Seri Paduka dalam operasi ini yang mengambil masa selama 45 minit dari jam 3 petang.
“Seri Paduka Baginda turut menerima sembah taklimat berkenaan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
“Keberangkatan Seri Paduka ini mencerminkan prihatin dan keperibadian tinggi Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap rakyat, khususnya golongan yang memerlukan bantuan,” kata kenyataan itu.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Hassanal Ibrahim menaiki bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam operasi mencari mangsa di sekitar kawasan pencarian di Sungai Pahang.
Mangsa, Loqman Hamka, 20, dari Kampung Kuala Kujan dipercayai mati lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Pahang pada hari Jumaat lalu.
Beliau membantu keluarganya menternak ikan patin sangkar di kawasan terbabit.
Pada hari kejadian, Loqman keluar dari rumah pada jam 9.30 pagi dan memberitahu bapanya, Hamka Abu Bakar, 61, untuk melihat rawai ikan di tempat kejadian.
Beberapa jam kemudian, rakan kepada Loqman memberitahu bapa beliau bot yang miliknya telah hanyut tetapi Loqman tiada dalam bot tersebut.