4 DIS: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan mengadakan perbincangan khas berhubung keputusan undi percaya yang tidak menyebelahi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.
Ketua Penerangan BERSATU, Wan Saiful Wan Jan berkata, apa yang diputuskan dalam DUN Perak itu akan diperincikan sebelum satu pendirian parti dijelaskan.
“Perkara ini insya-Allah akan dibincangkan oleh pimpinan BERSATU dan saya harap kita sama-sama tunggu pandangan rasmi parti nanti,” katanya dalam hantaran Facebook milik beliau, hari ini.
Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden BERSATU gagal memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul undi percaya terhadapnya yang dibentangkan oleh ADUN Pengkalan Baru, Datuk Abd Manaf Hashim.
Sebanyak 48 undi menolak usul berkenaan dan 10 menyokong manakala satu undi rosak atau berkecuali.
Sementara itu, Wan Saiful berkata, Ahmad Faizal menunjukkan keikhlasan dalam kepimpinannya untuk tidak memanjangkan permasalahan politik ketika semua sedang menghadapi keadaan yang tidak menentu dari segi ekonomi dan kesihatan.
“Pandangan sebegini jelas menunjukkan kesungguhan beliau menjaga kebajikan rakyat dan sikap beliau yang sentiasa meletakkan rakyat di hadapan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI