10 DIS: Seramai lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, hari ini.
Empat ADUN berkenaan dari UMNO iaitu Datuk Mohd Zolkafly Harun (Lintang), Datuk Shahrul Zaman Yahya (Rungkup), Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin (Kampong Gajah) dan Khairul Shahril Mohamed (Bota).
Seorang lagi Exco kerajaan negeri Perak ialah ADUN Sungai Manik merangkap Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.
Semua ADUN UMNO itu menganggotai barisan Exco di bawah pentadbiran terdahulu manakala Zainol Fadzi merupakan muka baharu.
Mereka juga menandatangani watikah pelantikan dengan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Hisham Hashim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Suaidi Abdul Rahim.
Istiadat mengangkat sumpah jawatan Exco itu turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.
Dalam sidang media tengah hari tadi, Saarani memberitahu, lima ADUN berkenaan dipilih bagi membolehkan fungsi kerajaan negeri berjalan termasuk pembentangan Belanjawan Perak 2021, Rabu depan.