23 MEI: PH bakal menerima tamparan hebat sekali lagi apabila beberapa ahli parlimen PKR keluar daripada parti.
Difahamkan mereka akan bertindak sebagai ahli parlimen bebas, namun tidak dijelaskan nama ahli parlimen tersebut.
Langkah itu adalah susulan mereka tidak senang dengan keputusan pimpinan tertinggi PKR yang sebelum ini menyingkirkan bekas Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada parti itu pada Februari lalu.
Penyingkiran Azmin itu berikutan sokongannya terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, yang juga disokong beberapa parti lain termasuklah UMNO, PAS dan GPS.
“Saya tidak mahu komen lebih lanjut hal ini, kita tengok sahaja apa yang berlaku esok, tapi apa yang pasti perkara ini merencatkan lagi perancangan PH untuk kembali berkuasa apabila jumlahnya yang semakin merosok selepas ini,” kata sumber kepada PNBBC Portal.
Sebelum ini kerajaan negeri Kedah yang ditakluki PH tumbang apabila dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR iaitu ADUN Sidam, Robert Ling dan ADUN Lunas, Azman Nasrudin mengumumkan keluar dari parti mereka untuk menjadi anggota bebas, namun menyokong kepimpinan PN.
Beberapa langkah lain turut dilakukan secara halus dengan menubuhkan NGO baru yang dikatakan untuk nemperjuangkan nasib dan perpaduan rakyat.
Turut difahamkan NGO itu adalah Pro PN yang juga disokong Azmin dan ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin serta beberapa ADUN lain seperti ADUN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli, ADUN Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha, dan ADUN Sementa, Daroyah Alwi.
Jika ini berlaku, ia bakal memberi gambaran yang PH akan selamanya menjadi pembangkang, sementara PN akan terus memerintah dengan gabungan BERSATU, UMNO, PAS dan GPS serta NGO baru yang mungkin diubah menjadi sebuah parti politik baru yang menyokong kepimpinan Muhyiddin.