15 DIS: Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta menarik balik lesen premis hiburan yang beroperasi walaupun kegiatan itu dilarang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PBT mesti bertindak tegas menghentikan operasi premis hiburan terbabit selama-lamanya jika mereka masih berdegil.
Beliau juga kesal kerana tangkapan berkaitan operasi pusat hiburan berlaku setiap hari walaupun makluman dan peringatan telah dikeluarkan.
“Pada 12 Disember 2020, tangkapan melibatkan aktiviti pusat hiburan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 292 tangkapan,” katanya dalam sidang media di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.
Ismail Sabri menambah, trend jumlah tangkapan akibat pelanggaran PKP meningkat dari sehari ke sehari khususnya membabitkan kelab malam, pusat hiburan dan pub.
Beliau menegaskan, arahan kerajaan juga amat jelas untuk tidak membenarkan kelab malam dan pusat hiburan kembali beroperasi buat masa ini dan masih di bawah senarai terlarang.
Sementara itu, berhubung isu seorang individu dikompaun ketika bersendirian di taman awam yang kosng, Ismail Sabri memberitahu, tindakan itu tidak sepatutnya diambil.
“Dalam kes ini sepatutnya, individu tersebut tidak dikompaun kerana berada di tempat awam secara bersendirian dan tempat tersebut kosong.
“Seperti yang saya tegaskan sebelum ini bahawa pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan apabila berada di tempat awam yang sesak.
“Jika kita bersendirian atau ada penjarakan sosial, terdapat kelonggaran untuk tidak memakai pelitup muka seperti ketika makan di kedai makan,” jelasnya.
Dari segi penguatkuasaan, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 201 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard SOP dan kesemuanya telah dikompaun.
“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (87), tidak memakai pelitup muka (73), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (28) dan lain-lain (13),” katanya.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, pasukan keselamatan berjaya menahan seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Op Benteng di seluruh negara, semalam. – Oleh HUSSAINI AMRAN