26 MEI: Tindakan penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) akan tetap diteruskan tanpa kompromi.
Perkara itu ditegaskan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud sambil berkata pihaknya bagaimanapun akan terus menjalankan tugas seperti biasa sekiranya mempunyai maklumat mengenai kumpulan itu.
“Sekiranya terdapat maklumat mengenai penempatan PATI, tindakan akan diambil mengikut Akta Imigresen,” katanya kepada PNBBC portal.
Beliau berkata demikian bagi mengulas peningkatan kes wabak Covid-19 dalam kalangan penghuni di tiga depoh tahanannya ketika ini.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga jam 12 tengah hari semalam, seramai 270 PATI dalam depoh dan pusat tahanan sementara dikesan dijangkiti wabak berkenaan.
Mengikut pecahan, seramai 126 individu disahkan dijangkiti Covid-19 di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, diikuti DTI Semenyih iaitu seramai 66 individu positif serta DTI Sepang pula 36 kes positif Covid-19 termasuk 29 kes baharu yang dilaporkan semalam.
Bagaimanapun, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata orang ramai tidak perlu bimbang dengan peningkatan kes itu kerana depoh terbabit tempat yang diasingkan daripada masyarakat dan sudah dikawal pihak berkuasa. – Oleh ASLINDA NASIR