14 APRIL: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Ini pertemuan pertama Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson selepas pembentukan kerajaan Perikatan Nasional pada Mac lalu.
Menerusi catatan di Facebook, Anwar memaklumkan pertemuan selama 45 minit itu membincangkan mengenai langkah menangani wabak COVID-19.
Beliau turut menyatakan penghargaan atas khidmat jentera kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.
Selain itu, Anwar turut bangkitkan soal penyampaian maklumat yang mesti telus dan keupayaan ujian ditingkatkan.
Sambil menyambut baik pakej rangsangan yang diumumkan, beliau berharap dipastikan keberkesanan pelaksanaannya agar tidak dipolitikkan di peringkat akar umbi.
Dalam pertemuan itu kata Anwar, Perdana Menteri menyatakan cadangan sidang Parlimen pada 18 Mei ini dan masalah terkait COVID-19.
“Saya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan serta pembangkang, dan akan mengemukakan pandangan kepada beliau,” tulis Anwar.