18 DIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron disahkan positif COVID-19 semalam dan kini menjalani kuarantin selama tujuh hari.
Memetik laporan AFP, beliau mengalami gejala demam, batuk dan kelesuan.
Jurucakap kerajaan Perancis, Gabriel Attal berkata, Macron meninggalkan Istana Elysee pada sebelah petang untuk pulang dan menjalani kuarantin di kediaman rasminya, La Lanterne di Versailles.
“Beliau akan terus bekerja dan menjalankan aktiviti dari jauh,” kata Attal.
Beberapa pemimpin lain yang menjadi kontak beliau juga menjalani kuarantin, termasuk Presiden Majlis Eropah, Charles Michel; Perdana Menteri Sepanyol, Portugal dan Luxembourg; serta Perdana Menteri Perancis, Jean Castex.
Sementara itu, seorang jurucakap memberitahu, Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo, turut menjalani kuarantin kendiri sebelum disahkan negatif COVID-19 dan akan kembali bertugas, hari ini.