18 DIS: Ibu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu Tun Rahah Mohamed Noah, meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Najib dalam satu kenyataan ringkas menerusi laman Facebook miliknya mengesahkan berita pemergian ibunya yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein.
“Innalillahwainnailaihirojiun. Bonda saya sudah tiada. Kami sekeluarga di hospital. Kesedihan dan air mata mengalir. Tiada kata-kata untuk kehilangan ini,” katanya.
Allahyarham Tun Rahah, 87, dilahirkan di Muar, Johor pada 1933 dan berkahwin dengan Allahyarham Tun Abdul Razak pada 4 September 1952.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa turut bersedih dengan pemergian itu.
“Innalillahiwainnailaihiraajiun… Dengan penuh rasa sedih,Tun Hajah Rahah Mohd Noah telah kembali ke Rahmatullah sekejap tadi… Semoga Allah memberikan kekuatan dan kesabaran kepada seluruh keluarga… dan semoga Allah SWT mencucuri rahmat atas roh Allahyarhamah.. Al-Fatihah,” katanya dalam ciapan Twitter. – Oleh HAIKA KHAZI