23 DIS: Pelancaran Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-203 disempurnakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebentar tadi, mampu memberikan sinar baharu kepada industri pelancongan negara mulai tahun depan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukry, berkata proses penggubalan DPN 2020-2030 membabitkan 40 sesi libat urus dengan penyertaan melebihi 1,100 orang telah dijalankan mencakupi semua pihak berkepentingan termasuklah kementerian/ agensi kerajaan, kerajaan negeri, penggiat industri, badan bukan kerajaan dan pihak swasta.
“Matlamatnya hanya satu, iaitu untuk menjamin kelangsungan industri pelancongan negara melalui pengukuhan daya saing, pembangunan sektor pelancongan secara lestari dan inklusif, serta kesediaan mendepani sebarang situasi ketidaktentuan pada masa akan datang.
“Melalui dasar ini, tumpuan akan diberikan kepada pelancongan lestari dan peningkatan pendapatan pelancongan yang merupakan indikator terpenting dalam memberi impak kepada ekonomi negara. Dalam hal ini, kita memilih untuk mengutamakan kualiti berbanding kuantiti, atau dalam istilah yang lebih mudah adalah kepada ‘quality tourist atau high yield tourist’.
“Selain itu, kita juga berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi eko-pelancongan pilihan dunia berdasarkan tarikan semulajadi yang ada di Malaysia,” katanya ketika menyampaikan kata-kata aluan sempena pelancaran DPN 2020-2030 secara maya menerusi laman Facebook rasmi kementerian sebentar tadi.
Berikutan itu, Nancy merayu semua pihak supaya bersatu hati menggerakkan DPN 2020-2030 ke arah memartabatkan industri pelancongan negara terunggul di seantero dunia. Ayuh kita nantikan suatu permulaan baharu yang lebih positif bagi industri pelancongan negara pada tahun 2021.
Beliau memberitahu, industri pelancongan merupakan antara penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara. Pada tahun 2019, industri pelancongan telah merekodkan sumbangan 15.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan nilai RM240.2 bilion.
Nancy menambah, guna tenaga dalam industri pelancongan mencatatkan 3.6 juta orang yang menyumbang 23.6 peratus kepada keseluruhan guna tenaga. Ini bermakna bagi setiap empat pekerjaan di Malaysia, satu daripadanya adalah berkaitan dengan industri pelancongan.
“Di samping itu, bagi tahun 2019 juga, perbelanjaan pelancong asing telah meningkat sebanyak 2.4 peratus kepada RM86.1 billion dengan ketibaan pelancong sebanyak 26.1 juta orang. Manakala, perbelanjaan pelancongan domestik pula telah menyumbang sebanyak RM103.2 billion, iaitu peningkatan sebanyak 11.5 peratus.
“Atas kejayaan ini dan rekod perkembangan positif dari setahun ke setahun yang memberangsangkan, Kerajaan seterusnya komited untuk melakar satu lagi sejarah dalam industri pelancongan negara apabila kita telah merancang untuk melancarkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 pada awal tahun ini,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI