24 DIS: Prasyarat wajib harus ditetapkan bagi rancangan dakwah berasaskan realiti televisyen dalam usaha untuk menambah baik kualiti program tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, antara prasyarat tersebut ialah kesemua peserta perlu mempunyai latar belakang pengajian Islam dan tauliah daripada mana-mana pihak berkuasa.
Menurut beliau, ia perlu dilaksanakan bagi menjaga kualiti para pendakwah yang dilahirkan menerusi program dakwah di rancangan televisyen.
“Mengkaji secara mendalam setiap program dakwah yang berasaskan realiti televisyen. Mungkin perlu ada prasyarat wajib seperti memiliki latar belakang pengajian Islam dan tauliah daripada mana-mana pihak berkuasa.
“Ini bagi memelihara kualiti pendakwah yang lahir daripada program tersebut,” katanya ketika berucap pada Program Tausiyah Bersama Pendakwah Selebriti di Movenpick Hotel, Sepang, hari ini.
Terdahulu, beliau yakin terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan rancangan-rancangan agama di negara ini yang diantaranya boleh memperbanyakkan rancangan yang bersifat menjawab isu-isu semasa.
Tambah beliau, rancangan keagamaan juga wajar mempelbagaikan lagi bentuk-bentuk rancangan agama supaya dapat menarik pelbagai lapisan masyarakat.
“Perlu elakkan dari membincangkan topik atau isu-isu yang boleh mencetuskan khilafiyah atau salah faham yang tidak sesuai dibahaskan secara umum di khalayak.
“Rancangan keagamaan juga boleh menampilkan pihak berkuasa dengan kepakaran masing-masing bagi mengulas isu berkaitan dengan dasar kerajaan dan fatwa,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH