29 MEI: Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi Ahli Parlimen menolak keputusan Bersatu menggugurkan keahlian mereka kerana mendakwa ia bertentangan dengan undang-undang.
Mereka tidak bersetuju sama sekali keahlian masing-masing dalam parti itu terhenti serta-merta seperti surat ditandatangani oleh Setiausaha Kerja Bersatu Mohammad Suhaimi Yahya.
Berdasarkan surat yang diedarkan kepada media, keahlian kelima-lima mereka digugurkan atas alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.
Menurut surat bertarikh 28 Mei 2020, mereka dimaklumkan telah melanggar peruntukan 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu selain tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin
Lima ahli itu mendakwa, tindakan itu menafikan hak mereka untuk membela diri dan memberi penjelasan yang dijamin bawah prinsip kedaulatan undang-undang.Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama oleh Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), malam tadi..
“Peruntukan 10.2.2 menyatakan ‘mengisytiharkan keluar daripada parti’ dan 10.2.3 menyatakan ‘menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain di negara ini’.
“Dilihat pada takrifan itu, amat dangkal dan tidak munasabah untuk kami dikatakan sudah keluar parti sedangkan kami hanya melaksanakan apa yang dibenarkan undang-undang dan hak kami bawah Perlembagaan Persekutuan selaku Ahli Parlimen yang sah,” menurut kenyataan itu.