8 APR: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang sederhana pada 2019, Dewan Rakyat diberitahu.
Menurut Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin, ia berikutan faktor luaran yang mencabar termasuk isu penutupan sementara pentadbiran kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang paling lama dalam sejarah, iaitu 35 hari.
Penutupan operasi kerajaan AS mulai 22 Disember 2018 hingga 25 Januari 2019 lalu ujar Mohd Radzi telah memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi negara itu dan secara tidak langsung kepada pertumbuhan ekonomi dunia bagi suku pertama 2019.
“Selain itu ketidaktentuan dasar monetari Amerika Syarikat, kesan pertumbuhan ekonomi China yang lebih perlahan, serta ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang masih belum berakhir turut memberi kesan kepada ekonomi dunia dan seterusnya kepada ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang ingin tahu unjuran ekonomi Malaysia bagi tahun ini dan mekanisme penampan ekonomi yang dirancang kementerian itu bagi mengelakkan krisis ekonomi.
Mohd Radzi berkata berdasarkan Laporan Tahunan 2018 yang diterbitkan Bank Negara Malaysia, pertumbuhan ekonomi negara pada 2019 akan disokong oleh pertumbuhan domestik terutama permintaan sektor swasta yang kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Penggunaan swasta disasarkan berkembang 6.6 peratus manakala pelaburan swasta pula dijangka meningkat sebanyak 4.9 peratus pada 2019.
Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, semua sektor ekonomi utama negara turut disasar mencatat perkembangan positif dengan sektor perkhidmatan dijangka meningkat 5.7 peratus dan perkilangan pula 4.8 peratus.
Kedua-dua sektor berkenaan juga kekal sebagai penyumbang terbesar ekonomi negara iaitu dalam lingkungan 79 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan kukuh dan berkembang sekitar 4.3 peratus hingga 4.8 peratus pada 2019.