30 DIS: Suruhanjaya Sekuriti (SC) menerbitkan Nota Panduan Penyediaan Nasihat Pelaburan mengenai tatalaku yang dipertimbang sebagai aktiviti dikawal selia dalam menyediakan nasihat pelaburan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) hari ini.
Nota panduan bagi memberi penjelasan kepada pihak industri dan orang ramai itu boleh dimuat turun menerusi https://www.sc.com.my/bm/kawal-selia/prinsip-panduan.
“Ini (nota panduan) dikeluarkan sebagai respons terhadap peningkatan jumlah pertanyaan dan aduan diterima mengenai pelbagai media sosial, ruang sembang serta aplikasi pesanan memberi cadangan mengenai saham tertentu dan/atau nasihat pelaburan kepada orang ramai yang memperoleh akses itu setelah membayar yuran,” kata SC dalam kenyataan hari ini.
Justeru, SC mengingatkan orang ramai agar tidak berurusan dengan penasihat pelaburan yang tidak berlesen kerana boleh tertipu atau dipergunakan sebagai sebahagian daripada skim manipulasi pasaran.
SC turut menasihatkan para pelabur agar membuat pengesahan pelesenan mana-mana platform, syarikat dan individu yang menawarkan perkhidmatan atau produk pasaran modal termasuk pemberian nasihat pelaburan sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan.
Maklumat mengenai individu berlesen atau berdaftar dengan SC boleh diperolehi dalam Daftar Awam Pemegang Lesen menerusi www.sc.com.my/licensed-registered-persons dan Senarai Berdaftar Diakui Pengedar Pasaran di www.sc.com.my/rmo.
SC menegaskan, mana-mana individu yang menjalankan perniagaan pemberian nasihat pelaburan tanpa lesen merupakan kesalahan mengikut CMSA dan boleh dikenakan hukuman seperti denda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Orang ramai yang mengetahui atau mempunyai maklumat mengenai individu menawarkan khidmat nasihat pelaburan tanpa lesen boleh menghubungi Jabatan Pengguna dan Pelabur SC di talian +603 6204 8999 atau e-mel kepada aduan@seccom.com.my,” katanya.