30 DIS : Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong telah diberi perkenan untuk menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Flintstone dekat Mersing hari ini.
Turut sama diperkenankan mengadap Sultan Johor ialah Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Datuk Mohd Zarif Mohd Hashim.
Pertemuan Ahli Parlimen Ayer Hitam dan Mohd Zariff itu adalah untuk mempersembahkan laporan terkini projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang akan dilaksanakan di negeri itu kepada baginda.
“Saya amat menghargai kehadiran kedua-dua mereka untuk menyampaikan taklimat mengenai projek berkenaan sehingga datang ke Johor walaupun mempunyai jadual kerja yang padat.
“Saya turut menekankan bahawa projek ini perlu berjalan secara lancar dengan menepati jadual pembinaannya,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) yang dimuat naik menerusi facebook rasmi Sultan Johor.
Pada 22 November lalu, DYMM Sultan Johor berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah RTS Link yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.
Majlis pecah tanah berlangsung di tapak projek akan datang bangunan Imigresen, Kastam dan Kuarantin di Bukit Chagar dengan disaksikan Baginda Tuanku Sultan secara maya dari Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan DYMM Sultan Johor.
Pelaksanaan projek RTS Link itu, bukan sahaja memberikan manfaat dari segi sosio-ekonomi, malah bakal mengubah lanskap pengangkutan awam di Johor, selain terus mengeratkan hubungan dengan Singapura.
RTS Link merupakan sistem transit aliran ringan pertama yang dibina di Johor Bahru, yang mana Johor merupakan pintu masuk utama di selatan negara.
Merangkumi pembinaan laluan sepanjang empat kilometer menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands di Singapura, RTS Link dijangka beroperasi pada penghujung tahun 2026.