KWSP Kota Kinabalu ditutup, kakitangan positif Covid-19
31 DIS : Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Kota Kinabalu akan ditutup sementara bermula hari ini sehingga diberitahu kelak ekoran seorang kakitangannya telah disahkan positif Covid-19.
Penutupan itu adalah untuk memberi laluan kepada proses sanitasi dan pembersihan di pejabat dan kaunter pejabat tersebut.
Dalam satu kenyataan hari ini, KWSP Kota Kinabalu memaklumkan pekerja berkenaan sedang menjalani rawatan manakala pengesanan kontak sedang dilaksanakan.
Ahli-ahli yang telah membuat janji temu bagi tempoh ini dinasihatkan untuk menjadualkan semula urusan mereka melalui Janji Temu Online (JTO), kata kenyataan tersebut.
Ahli juga boleh berurusan dengan mana-mana cawangan KWSP di Sabah yang masih beroperasi seperti biasa atau melaksanakan transaksi bagi perkhidmatan tertentu secara dalam talian melalui i-Akaun,” katanya.
Semua anggota perkhidmatan KWSP Kota Kinabalu juga akan menjalani ujian swab COVID-19 dan sekiranya positif, mereka akan diminta menjalani tempoh kuarantin wajib selama 14 hari mengikut garis panduan Majlis Keselamatan Negara.
KWSP berkata, ahli-ahli yang ingin mendapatkan penjelasan lanjut boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000 atau merujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.