2 JAN: Para perwakilan tetap bersemangat menghadiri mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian yang bermula semalam dalam situasi COVID-19 yang masih belum reda.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keadaan itu membuktikan kesungguhan mereka untuk terus berjuang.
“Kehadiran begitu ramai perwakilan walau dalam norma baharu dan keadaan politik semasa yang penuh warna-warni memberi gambaran jelas ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi masih bersemangat dan setia dengan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya dalam hantaran Facebook.
Semalam, beliau telah merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Padang Terap yang kemudiannya diikuti oleh perasmian serentak Mesyuarat Perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Padang Terap.
Mahdzir yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian berkenaan serta seluruh ahli jawatankuasa.