2 JAN: Sebanyak 2,295 kes baharu dicatatkan hari ini sekali gus menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 117,373 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah sebanyak 22,398 kes.
Menurut beliau, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat sembilan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,286 kes.
“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 638 kes (27.8 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 496 kes (77.7 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
“Ini diikuti oleh Johor sebanyak 580 kes (25.3 peratus) dan Pulau Pinang sebanyak 288 kes (12.5 peratus),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dr Noor Hisham menambah, sebanyak 135 kes (5.9 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (109 kes), Kluster Tembok Gajah (14 kes), Kluster Kolam Air (3 kes), Kluster Tembok (3 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (3 kes), Kluster Tembok Mempaga (2 kes) dan Kluster Tembok Choh (1 kes).
Beliau memberitahu, sehingga kini, terdapat 125 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 51 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Dr Noor Hisham turut memaklumkan, terdapat pertambahan sembilan kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 483 kes (0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
Mangsa-mangsa terdiri daripada lelaki dan wanita rakyat tempatan yang berumur antara 41 hingga 82 tahun.
Beliau berkata, bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 3,321 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 94,492 kes (80.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). – Oleh HUSSAINI AMRAN