3 JAN : Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut akibat didera di sebuah kondominium Jalan Ipoh semalam, menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.
Menurutnya, susulan daripada laporan yang diterima pihak polis, tiga orang suspek yang dipercayai terlibat dalam kes itu telah ditahan.
“Polis menahan tiga suspek yang merupakan pengasuh dan anak-anaknya berusia lingkungan 22 hingga 61 tahun, dipercayai terlibat dalam kes itu, bagi membantu siasatan.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di atas katil serta lengkap berpakaian. Hasil pemeriksaan fizikal mendapati, terdapat kesan calar serta lebam pada beberapa bahagian badan dan kaki mangsa.
“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beh berkata, mayat mangsa telah pun dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.