3 JAN : Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan, ahli-ahli UMNO mesti menolak sebarang usaha yang bertujuan mahu melihat UMNO menjalinkan kerjasama dengan Dap.
Menurut beliau, ahli UMNO mesti menanamkan tekad sedalam-dalamnya, sebarang usaha ke arah itu mesti ditolak oleh ahli UMNO untuk selama-lamanya.
“Malangnya hari ini ada suara dan tindakan segelintir pihak yang cuba menghalalkan sesuatu yang tidak pernah tertulis dalam kamus perjuangan parti bersejarah ini, iaitu menjalinkan kerjasama dengan Dap.
“Cukuplah 22 bulan Pakatan Harapan yang ditunjangi Dap memerintah negara. Kita sudah dapat melihat wajah sebenar mereka.
“Jangan kita lupa, siapa yang mempertikai penggunaan tulisan jawi? Siapa yang memperlekehkan askar Melayu kita, tuduh mereka hanya tahu makan dan tidur sahaja. Siapa yang mahu keistimewaan pendidikan untuk bumiputera dihentikan?
“Segala tindak tanduk yang mencalarkan maruah kita, memperkotak katikkan Islam dan Melayu yang dilakukan oleh mereka ini selama 22 bulan memerintah menyedarkan kita, bahawa Dap tidak sesekali tidak boleh kawan. Ini pendirian saya sebagai Ketua Bahagian,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong hari ini.
Jelas beliau lagi, cukuplah selama 22 bulan pemerintahan PH yang beliau sifatkan sebagai satu era yang amat menyediahkan dalam pemerintahan negara.
“Sekarang ini kita berada dalam era yang jauh lebih baik, takkanlah kita mahu memporak perandakan keadaan yang baik ini. Ini bukan masa untuk kita bercakaran sesama sendiri.
“Takkanlah kita mahu tumbangkan kerajaan Melayu Islam sekarang dan digantikan pula dengan kerajaan Anwar dan Dap,” tegasnya.
Bagaimanapun, kata Hishammuddin, jangan sesekali ahli-ahli UMNO merasa selesa dengan keadaan hari ini biarpun UMNO sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan.
“Jangan sesekali kita merasa selesa dan akhirnya memilih jalan yang lampau, apatah lagi kita kini menjadi kerajaan. Saya bimbang jika terlalu selesa kita akan lupa. Jangan ingat hari ini kita dalam kerajaaan, kita akan terus memerintah.
“Kita seharusnya banyak belajar dengan kekhilafan yang lalu sehingga kita tewas pada PRU 14. Janganlah kita terpaksa lalui peristwa itu sekali lagi. Keadaan parti hari ini adalah lebih baik dari dulu,” tegasnya.
Kata Hisham lagi,semangat dan kesatuan UMNO semakin pulih dan perkara ini mesti dipertahankan. Walaupun tidak sependapat, jangan sesekali memilih jalan permusuhan yang boleh merugikan agama dan bangsa.
“Kita perlulah bersikap tolenrasi agar perpaduan ini dapat dikekalkan dan perpecahan dapat dielakkan dan amanah orang Melayu dapat kita teruskan.
“Orang-orang UMNO mesti berpegang teguh bahawa entiti Islam dan Melayu bukan perkara yang boleh diperjudikan. Amanah dan tanggungjawab bangsa Melayu ini mesti kita pegang teguh sampai bila-bila,
“Oleh itu, marilah kita bersatu sepertimana kita tidak pernah bersatu sebelum ini. Perkemaskan barisan kita dan bangkitkan semangat kita untuk berjuang habis-habisan untuk agama kita, bangsa dan tanahair kita dalam PRU yang akan datang ini,” katanya.