3 JAN: Penduduk kawasan terjejas banjir di negeri Pahang diminta mengambil langkah berjaga-jaga dan meningkatkan pengawasan keselamatan khususnya melibatkan golongan kanak-kanak dan warga emas.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini berikutan beberapa daerah di Pahang mula dinaiki air akibat hujan lebat yang berterusan sejak semalam.
“Saya telah mendapat perkhabaran bahawa beberapa kawasan di daerah Pahang telah mula dinaiki air akibat hujan lebat beberapa hari ini.
“Oleh yang demikian, saya berharap agar semua masyarakat yang terlibat agar mengambil langkah berjaga-jaga dan meningkatkan pengawasan keselamatan terutamanya golongan kanak-kanak dan warga emas.
Sila patuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Sama-sama kita berdoa agar Allah menjauhkan kita dari bencana yang tidak diingini, “katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.
Terdahulu, Wan Rosdy turut melawat lima keluarga mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Batu Talam dan penduduk di Taman Amalina Perdana,Raub yang terjejas banjir.
Banjir di Pahang bertambah buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan kini mencecah 2,191 orang daripada 556 keluarga sehingga jam 4.30 petang pada Ahad.
Sebanyak 59 PPS dibuka melibatkan sembilan daerah terjejas dan tujuh PPS dibuka di Kuantan menempatkan 595 mangsa daripada 151 keluarga.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera Pemuda UMNO Pahang yang turun padang membantu mereka yang terlibat akibat musibah banjir yang melanda.
“Saya berharap agar mereka yang terlibat juga mengambil langkah berjaga-jaga dan terus membantu mangsa yang memerlukan di setiap pelusuk daerah,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH