1 JUN: Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menjelaskan bahawa perjumpaan pada petang 23 Februari bersama Tun Dr Mahathir Mohamad adalah untuk mencadangkan bekas perdana menteri itu mewujudkan “Kerajaan Perpaduan” tanpa DAP, PKR dan Amanah.
Katanya, telah ada “titik persamaan persetujuan” bagi memulakan perbicangan, namun sokongan ditarik balik apabila Tun Mahathir pada Selasa mencadangkan Kerajaan Perpaduan semua parti yang melanggar persetujuan awal.
“Gambar yang tular di media sosial adalah perjumpaan oleh presiden parti-parti politik untuk mencadangkan agar Tun M mewujudkan kerajaan perpaduan tanpa DAP, PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Amanah.
“Itulah titik persamaan persetujuan bagi memulakan perbincangan.
“Namun sokongan ditarik balik apabila Tun M pada Selasa mencadangkan kerajaan perpaduan semua parti yang melanggar persetujuan awal,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Ahmad Zahid mengulas mengenai tangkap layar hantaran Facebook pegawai Tun Mahathir semalam, yang mendakwa beliau membawa “dokumen” bersamanya, namun dibalas Mahathir agar membawa dokumen berkenaan ke mahkamah.
Bagaimanapun kata Ahmad Zahid, presiden parti yang hadir membawa akuan bersumpah (SD)dan bukannya dokumen mahkamah seperti ditulis beberapa orang.
“Saya hadir membawa mandat ahli dan pimpinan UMNO, tidak lebih daripada itu.
“Hanya mereka yg tidak mahu berfikir akan percaya fitnah-fitnah itu. Adakah dalam perjumpaan seramai itu akan dibincang hal peribadi sedangkan isu utama adalah mengenai perubahan kerajaan?
Baru sahaja kita berpuasa sebulan tapi fitnah sudah menguasai kembali,” ujar Ahmad Zahid.
Semalam, tular gambar yang memaparkan perjumpaan Tun Mahathir bersama beberapa pemimpin parti politik, pada petang 23 Februari lalu- hari sama Langkah Sheraton terjadi.
Gambar itu menunjukkan Mahathir duduk bersama Ahmad Zahid; Pengerusi GPS, Datuk Seri Abang Johari Openg; Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.