5 JAN: Menyedari ramai terjejas akibat banjir yang melanda enam negeri sejak beberapa hari lalu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan agensinya sudah mengagihkan bantuan pasca banjir kepada mangsa bencana itu.
Malah tanpa ramai ketahui, bantuan berbentuk barangan makanan dan kit banjir sudah dibuat bermula 27 November lalu apabila musim banjir baru bermula
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, pihaknya sentiasa memantau situasi banjir yang kerap berlaku pada hujung tahun dan membuat persiapan bagi menghulurkan bantuan.
Katanya, sejak akhir November sehingga kelmarin, 402 keluarga mangsa banjir yang di tempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah menerima bantuan makanan dan kit banjir.
Enam negeri kini yang sedang dilanda banjir adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Selangor dan Perak.
Bilangan mereka yang dipindahkan semakin meningkat sejak minggu dengan jumlah kerosakan harta benda akibat banjir juga bertambah besar.
Abdul Latiff yang dihubungi PNBBC Portal, berkata, KPLB juga akan membantu untuk membaik pulih rumah yang telah rosak atau musnah semasa banjir di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
“Kementerian dan agensi telah mengenalpasti mangsa-mangsa mangsa banjir terbabit terutama yang dalam kriteria kumpulan sasar penerima bantuan PPRT,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap, mangsa banjir di PPS dapat mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) serta mengamalkan norma baharu yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana negara masih berdepan wabak COVID-19.