5 JAN : Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebarang sebarang penganjuran aktiviti atau majlis sosial melibatkan perhimpunan orang ramai di negeri ini perlu dimaklumkan kepada pihak Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah.
Masidi yang juga merupakan jurucakap COVID-19 negeri Sabah berkata, ia adalah untuk memudahkan pemantauan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Sabah hari ini mencatatkan 383 kes baharu positif COVID-19 iaitu meningkat 80 kes berbanding semalam menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri itu 38, 555 kes.
“Lima kes kematian turut direkodkan iaitu dua kes di Lahad Datu dan masing-masing satu kes di Kota Kinabalu, Kinabatangan dan Sandakan manakala satu kluster baharu dikesan hari ini ialah Kluster Tombovo di Putatan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, setakat hari ini hanya 32.77 peratus daripada jumlah keseluruhan 6,392 unit katil di hospital dan Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) COVID-19 digunakan.